Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu hari ini memerintahkan Manohara Odelio Pinot supaya kembali taat dan membayar semula hutang berjumlah RM1,112,250 kepada suaminya Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra. Manohara yang memakai gelaran Cik Puan Temenggong, juga perlu membayar jumlah hutang itu secara sekali gus dalam tempoh 30 hari selepas selesai sumpah berkenaan disempurnakan. Pada prosiding ini, Tengku Temenggong turut hadir mendengar keputusan tersebut tanpa kehadiran isterinya itu. Manohara juga tidak diwakili mana-mana peguam selepas peguamnya sebelum ini Mohd Faiz Adnan dan Roshdan Sujak Rafie menarik diri daripada mewakilinya pada 3 November lepas.
Sewaktu membacakan penghakimannya, Mohd Yusof berkata tindakan Manohara (kiri) yang melarikan diri ke Indonesia dan membuat kenyataan berbaur fitnah di media massa negara itu adalah suatu tindakan yang salah di sisi Islam sedangkan beliau telah dilayan dengan sebaik mungkin semasa tinggal bersama suaminya di Istana Mahkota di Kota Bharu. Apa yang dinikmati defendan itu tidak dapat diperoleh wanita lain dan sepatutnya berterima kasih kepada plaintif dan keluarga diraja tanpa membuat fitnah di media massa yang juga tersiar di Internet. Mohd Yusof berkata jika Manohara, yang juga seorang model di Indonesia, enggan kembali taat dalam tempoh 14 hari itu nanti, beliau mengikut undang-undang Islam merupakan isteri derhaka, nusyuz dan tidak berhak mendapat apa-apa keistimewaan lain daripada suaminya. Sewaktu ditanya apakah beliau masih mengharapkan Manohara agar kembali taat kepadanya, Tengku Temenggong berkata: "Ya, sudah tentu". (Petikan Bernama)
No comments:
Post a Comment