Penaja

Monday, December 14, 2009

Berhati-hati ketika mengisi minyak

“Seorang lelaki tiba-tiba masuk ke tempat duduk pemandu sambil mengacukan parang dan mengarahkan saya diam,” kata seorang wanita menceritakan detik cemas dia bersama tiga anaknya dilarikan seorang penjenayah yang melarikan kereta mereka ketika berhenti mengisi minyak berhampiran Plaza Tol Senawang, dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam. Rohani Ali, 51, berkata ketika kejadian, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang dicederakan sebelum lelaki itu terus memandu kereta Nissan Grand Livina menuju ke arah plaza tol. “Saya yang duduk di sebelah pemandu hanya mampu menangis apabila lelaki terbabit mengacukan parang ke arah saya dan menjerit supaya diam, sambil menghidupkan enjin kereta dan memandunya. “Malah, saya juga tidak berani melakukan apa-apa ketika lelaki itu mengambil tiket di Plaza Tol Senawang.
“Selepas melepasi plaza tol berkenaan, baru saya nekad membuka tingkap dan menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tuanku Jaafar (TTJ) Senawang, dekat sini, semalam.
Menurutnya, anak lelakinya berusia 10 tahun yang duduk di kerusi belakang mengetuk kepala lelaki itu menggunakan tangan berulang kali. Katanya, penjenayah itu berhenti mengejut di bawah jambatan susur keluar, Senawang ke lebuh raya itu sebelum mengarahkannya bersama penumpang lain turun. “Ketika itu, saya cepat-cepat menyuruh anak dan rakan anak dalam kereta keluar serta mencapai beg yang ada dalam kereta sebelum penjenayah melarikan diri. “Lelaki terbabit lebih awal mengambil beg tangan saya mengandungi RM500, telefon bimbit serta dokumen peribadi lain,” katanya. Rohani berkata, sebelum itu, dia dan empat anaknya berusia antara 10 hingga 15 tahun serta seorang rakan anaknya berusia 17 tahun menunggu dalam kereta sementara suami, Mohd Sahat Tumpang, 49, membuat pembayaran di stesen minyak itu ketika dalam perjalanan ke majlis perkahwinan di Sungai Buloh, Selangor. Sementara itu, Mohd Sahat berkata, ketika berada di depan kaunter bayaran, anak lelakinya berusia 15 tahun keluar dari kereta sambil menjerit memberitahu ada rompakan. “Saya terus berlari keluar dan hanya sempat melihat seorang lelaki memandu kereta ke arah plaza tol,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam. Menurutnya, dia terus menghubungi talian 999 memaklumkan kejadian itu tetapi tidak sempat berbuat apa-apa memandangkan kejadian begitu pantas. “Apabila sepasukan anggota polis tiba, saya memaklumkan kejadian itu sebelum membuat laporan.“Tidak lama kemudian, saya dihubungi seorang pengguna jalan raya yang menemui isteri dan empat anak ditinggalkan di tepi lebuh raya oleh penjenayah terbabit yang terus memandu ke Kuala Lumpur,” katanya. Dalam pada itu, Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, polis masih mengesan kereta mangsa dilarikan penjenayah terbabit dan berdasarkan siasatan dan maklumat mangsa, suspek bersenjatakan parang.Katanya, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan

No comments:

Post a Comment